Friday, September 11, 2009

sketsaraya : bahulu hangit


Dulu waktu aku kecik-kecik aku paling suka tolong arwah nenek aku bakar bahulu.
Dalam seminggu lagi nak raya nenek aku atau Tok panggilan orang utara akan mula menyediakan kuih kuih tradisional seperti bahulu dan kuih bakar (kueh bangkit).
Bermula dengan memukul telur atau di utara dipanggil menimbuk, dalam dua puluh hingga tiga puluh biji telur di dalam pasu seramik.

Aku akan sukarela membantu kerana Tok pun tak larat nak timbuk lama- lama. Lagipun nak juga merasa 'upah'nya. Telur harus dipukul dengan pemukul spring yang besar dan klasik berjam- jam lamanya, sehingga menjadi seperti buih. Pantang larang waktu menimbuk adalah tidak boleh bercakap atau ketawa kerana takut air liur melompat masuk ke dalam dan akan merosakkannya.

Telur tadi akan diadun dengan tepung dan bahan-bahan yang lain. Bahagian ini aku tak ambil kisah sehinggalah waktu membakar.

Bahulu akan dibakar di atas dapur kayu, dan pada bahagian atas diletakkan bara api daripada sabut kelapa.

Aku dan adik-adik akan menunggu di sekeliling sambil menikmati keharuman bahulu yang sedang dibakar dengan harapan akan dapat sebiji untuk merasa.

Selalunya nenek tidak akan memberi kecuali kalau pembakaran yang terlebih masa dan hangit, baru lah kami dapat. Sedap... bahulu yang baru diangkat kerana masih panas dan bahulu yang sedikit hangus lebih enak rasanya walaupun sedikit gelap.

Apa lagi ... sentiasa lah kami berharap agar bahulu Tok akan hangus! Heee...

2 comments:

  1. bahulu ni kalau cicah dgn teh o / kopi o panas2......ish ish ish...(lamaaaa saya tengok gambar bahulu tu....hehehe)

    ReplyDelete
  2. Zaman saya budak-budak dulu, tunggu mak bakar kuih akok. Yang terlebih masak kita dapat sebab masa tu belum belajar puasa lagi. Sedap kuih akak garing panas-panas! Sob...sob... dah dua tahun tak makan akok dan nasi dagang sedap!

    ReplyDelete